Translate

Tuesday, November 30, 2010

Hantu Jepun

Hantu Jepun merujuk kepada sebarang bayangan atau makhluk yang berpakaian seperti tentera Jepun. Selalunya ia dikaitkan dengan tempat-tempat di mana pernah dijadikan markas tentera semasa Perang Dunia II, semasa Jepun menawan Malaysia.

Tempat yang selalu selalu disebut-sebut sebagai kawasan yang dihantuinya adalah bangunan sekolah berasrama, pejabat kerajaan dan bangunan-bangunan penting yang ada semasa Perang Dunia II. Oleh itu, boleh dikatakan, hantu Jepun ini agak moden.

Selalunya ia dilihat sama ada bersenjatakan senapang atau pedang, tanpa berkepala atau kepalanya dipangku bersama-samanya.

Kadang kala, ia dikatakan berbaris lengkap bersenjata pada waktu malam (tanpa kepala), dengan bunyi derapan kasut but tentera.

Tidak pula diketahui sama ada hantu Jepun turut terdapat di negara-negara jajah takluk Jepun yang lain (selain Singapura).


Wallahuaalam

Harimau Jadian/Halo


Harimau jadian dalam Masyarakat Melayu, merujuk kepada sejenis ilmu yang membolehkan penuntutnya bertukar menjadi harimau apabila dikehendaki. Ia dikatakan dibantu oleh golongan jin atau syaitan, yang dipelihara bagi tujuan membantu tuannya mempertahankan diri dan juga bagi memudaratkan musuh.

Harimau jadian biasanya perlu dibuang sebelum meninggal, dan sekiranya tidak dibuangkan, penuntut ilmu itu akan sukar meninggal dunia.

Harimau jadian biasanya dituntut bagi tujuan mempertahankan diri. Harimau jadian juga boleh disalah gunakan bagi membinasa musuh atau orang yang dibenci pemiliknya. Bagi penuntut ilmu ini, merekaperlu membuang ilmu mereka atau mewariskannya kepada keturunan mereka sebelum mati. Sekiranya mereka mewariskan kepada keturunan mereka ia tergolong kedalam saka. Di Indonesia masih ada penganut Ilmu harimau yang dapat membenarkan dirinya berubah jadi harimau dan pemilik nya juga rata-rata mempunyai pendamping harimau. Harimau jadian biasanya membenarkan penuntutnya bertukar menjadi harimau dengan memiliki kekuatan luar biasa.Ia boleh menjelma sebagai separuh harimau atau harimau sebenar. Ia mampu (tidak semestinya) membinasa musuh atau orang yang dibenci pemiliknya. Memiliki tindak balas yang sangat tinggiMemiliki silat Harimau yang tak perlu dipelajari, dengan sendirinya keluar jika diperlukan. Pengamal ilmu sihir hitam atau ilmu sesat ini adalah satu perbuatan syrik dalam ugama Islam. Penuntutnya sukar untuk mati sekiranya ilmu itu tidak dibuang sebelum meninggal.

Kemungkinannya ia digunakan bagi menakut-nakutkan orang lain daripada menganggu tanaman atau keselamatan orang yang mendakwa memiliki ilmu sedemikian. Selain itu perlu diingat bahawa sekitar 1930-an harimau masih banyak terdapat di Malaysia dan masih ada harimau yang berkeliaran dalam kampung pada waktu malam semasa itu, terutamanya di Terengganu, dan Kedah. Keadaan sedemikian mungkin mendorong timbulnya tuduhan harimau itu dipelihara seseorang dalam kampung tersebut.

Hantu Kopek Lanjut

Hantu Kopek merujuk kepada sejenis makhluk halus dalam kepercayaan Melayu, kemungkinannya dari golongan jin/shaitan, yang suka menganggu manusia. Kononnya hantu kopek berbentuk seorang wanita yang tua yang suka menyorokkan kanak-kanak kecil yang suka bermain-main di luar rumah semasa waktu maghrib, dengan cara menyembunyikan mereka dengan kopek (buah dada) mereka.

Hantu kopek dikatakan berkeliaran dikawasan perkampungan dan akan menyorok kanak-kanak yang merayau-rayau pada waktu senja. Mereka yang disorok oleh hantu kopek, biasanya mampu melihat mereka yang mencari tetapi tidak mampu berkomunikasi dengan pencari.

Secara ilmiahnya Hantu kopek ini dipercayai digunakan bagi menakut-nakutkan kanak-kanak agar tidak berkeliaran di waktu senja. Ini disebabkan pada masa dahulu, keadaan gelap senja amat merbahaya kerana haiwan buas mungkin memasuki kawasan perkampungan atau kanak-kanak yang berkaki ayam mungkin akan terpijak onak, duri, paku atau kaca dalam kegelapan malam. Selain itu terdapat juga ancaman binatang buas seperti harimau yang mungkin memasuki kampung dipinggir hutan. Dengan itu hantu kopek dicipta bagi menyelamatkan mereka daripada ancaman tersebut.

Hantu Pari


Hantu Pari
Hantu Pari dikatakan berjantina wanita dan menghuni di pohon-pohon besar yang tinggi seperti Langsuir. Ada juga yang menyatakan mereka hidup bermasyarakat seperti Orang Bunian. Rupa bentuk Hantu Pari dikatakan sangat cantik, berambut hitam dan panjang, bermata bulat dan hidungnya dikatakan pesek tetapi tajam dihujungnya

Hantu Bidai


Hantu Bidai atau juga dikenali sebagai hantu balong bidai atau sulur Bidai merujuk kepada sejenis makhluk halus dalam kepercayaan Melayu, kemungkinannya dari golongan jin/syaitan, yang suka menganggu manusia. Kononnya hantu bidai merupakan semangat jahat yang tinggal dalam air. Hantu bidai mampu menyerupai tikar, dan akan menggulung dan melemaskan mangsa.

Hantu Bidai boleh dikelaskan dalam kumpulan makhluk halus yang tidak dipelihara / liar.Hantu bidai dikatakan berkeliaran dikawasan berair dan akan akan menggulung dan melemaskan mangsa. Ini kemungkinan bagi menjauhi kanak-kanak daripada pergi berenang tanpa pengawasan orang tua, kerana ditakuti akan lemas sekiranya mengalami kesukaran seperti kekejangan.

Kata sesetengah orang tua-tua,yang menyerupai sesuatu pusar air atau canvas putih terbentang atas air bagi memesongkan manusia. Ada yang kata ular besar (ular bidang) berbentuk leper.Ada masanya orang jumpa version warna merah.

Makan dengan cara mengulung dan memerah. Semasa menggulungkan diri, akan menghasilkan buih. Kemunculam makhluk ini dapat dikesan kerana ia akan timbul bersama dedaun yang terbenam di dasar sungai ke tasik ker lombong.Daun-daun tersebut akan timbul ke permukaan air seperti dedaun kering.Daun-daun tersebut bila diambil akan terasa kering seolah-olah telah diperah oleh sesuatu. Kata orang, daun yang terkena buih ini boleh diambil dari air & terus dibakar
.Satu perkara yang aneh sehingga daun yang basah di dalam air pun boleh di nyalakan jika di bakar.

Apa saja yg sesuai pasti menjadi mangsanya. Ketika itulah anda disarankan agar melarikan diri & laungkan azan dengan kuat agar tidak dijadikan mangsa makhluk halus tersebut. Tempat-tempat famous yang kaki-kaki pancing, orang asli selalu jumpa Hantu Bidai ini ialah di Tasik Kenyir (ada musim dia), Tasik Banding Royal Belum, Tasik Chini & Sungai Pahang.Mulutnya ada pada setiap penjuru (4 penjuru = 4 mulut)

Mengikut sumber dari pakcik-pakcik Seekers Hantu Balung Bidai juga dikenali sebagai Hantu Bidai atau Hantu Balung. Ada pendapat yang menyatakan rupa bentuknya seperti seekor ular besar yang menjalar di air dan ada pula yang menyatakan ia mempunyai kepala yang bulat, rambut dipenuhi ular yang berbisa

Secara ilmiahnya Hantu Bidai ini dipercayai digunakan bagi menakut-nakutkan kanak-kanak agar tidak pergi berenang secara bersendirian. Ini disebabkan mandi tanpa pengawasan orang tua amat merbahaya kerana kanak-kanak tersebut mungkin akan berhadapan dengan bahaya lemas atau terpijak onak, duri, paku atau kaca dalam air. Dengan itu hantu bidai dicipta bagi menakutkan dan menyelamatkan mereka daripada ancaman tersebut.

Wallahuaalam

Anak Kerak/Anak Nyet

Anak kerak ialah sejenis hantu yang hampir sama dengan Toyol, tetapi mempunyai asal yang lebih spesifik dan keupayaan yang lebih.

Anak kerak dikatakan berasal dari janin atau bayi di dalam kandungan yang dibunuh sebelum dilahirkan. Anak kerak yang paling kuat dikatakan berasal daripada mayat bayi yang merupakan anak sulung dan ibu bapanya juga merupakan anak sulung. Bayi tersebut dilahirkan pada hari Selasa dan dibunuh dalam lingkungan umur 6 hingga 7 bulan dalam kandungan. Mereka dikecutkan oleh bomoh bagi tujuan amalan perubatan dan juga bagi tujuan melakukan kejahatan.

Disebabkan itu, pada masa dahulu adalah menjadi pantang dikalangan penduduk pantai timurPattani. untuk mendedahkan mereka adalah anak sulung kepada orang yang tidak dikenali. Ilmu anak kerak ini biasanya popular dalam kalangan penduduk

Anak kerak ini perlu dilayan dan dijaga dengan baik. Ini disebabkan ia dikatakan akan memakan tuannya sekiranya terbiar. Oleh itu semua perkakasan seperti buaian, kelambu nyamuk, bantal, tilam, dan hidangan susu perlu disediakan secara berterusan selagi anak kerak ini tidak dibuang.

Waallahuaalam

Hantu Bajang

Bajang merujuk kepada sejenis makhluk halus yang dipelihara bagi tujuan memudaratkan musuh. Pemeliharaan makhluk halus ini dikenali sebagai saka.

Bajang merupakan makhluk Halus yang dipuja daripada mayat bayi yang mati semasa lahir. Ia merupakan setan jantan yang sering kali menjelma sebagai kucing pole cat. Bajang seringkali menyerang kanak-kanak dan mampu menyebabkan penyakit misteri yang boleh membawa maut kepada mangsanya.

Bajang akan dikawal oleh pemiliknya dan akan disimpan di dalam tabung buluh. Sejenis daun khusus akan digunakan sebagai penyumbat tabungan tersebut dan dikunci dengan tangkal. Bajang hanya dikeluarkan apabila pemiliknya hendak mengenakan musuhnya.

Bajang yang dipelihara itu akan diberi makan telur dan juga susu. Sekiranya tidak dijaga dengan baik dan diberi makan, Bajang yang kelaparan itu akan menyerang tuannya.

Bajang boleh dihindari dengan menggunakan tangkal atau azimat mengikut kepercayaan melayu zaman dahulu,tetapi kita sebagai orang islam,mesti yakin dah percaya bahawa hanya ayat-ayat Allah sahaja yang mampu menghindari makhluk jenis ini. Tidak ada cara membunuh bajang mengikut kepercayaan masyarakat melayu kita, tetapi biasanya sekiranya tuannya diketahui, dia akan dibunuh atau diusir dari kampung tersebut.

Bajang biasanya perlu diwarisi, dan sekiranya tidak diturunkan kepada waris, tuannya akan menjadi bangkai bernyawa. Tubuhnya mati dan berbau busuk, tetapi apabila hendak dikebumikan, ia akan bangkit seperti hidup. Selain itu, ia akan makan dengan lahapnya apabila diberi makan.Ia perlu diberi makanan menurut tempoh tertentu, biasanya setiap bulan penuh. Sekiranya tuannya mati sebelum sempat mencari pengganti, bajang akan hidup liar dan mengganggu penduduk berdekatan.


Hantu Bajang biasanya dibela oleh seseorang bagi menjaga keselamatan diri daripada serangan haiwan buas, menjaga ladang daripada serangan perosak tanaman, membuat kerja berat seperti membersihkan kawasan untuk berhuma dan bagi memusnahkan saingan.

Cara mewariskan Hantu ini iaitu ia perlu diberikan kepada pengganti apabila seseorang itu hampir mati, biasanya anak atau cucu kepada pemilik asal.

Bajang biasanya dipelihara bagi tujuan membinasa musuh atau orang yang dibenci pemiliknya.Pengamal ilmu sihir hitam atau ilmu sesat ini adalah satu perbuatan syrik dalam ugama Islam. Bajang akan mengamuk sekiranya tidak dijaga dengan baik. Tuannya sukar untuk mati sekiranya tidak ada orang hendak menerimanya.

Waallahuaalam

Hantu Kum Kum

Asal hantu kum-kum dikatakan bermula dengan seorang wanita yang mengamalkan ilmu mencantikkan muka. Tetapi salah satu pantangnya merupakan dia tidak boleh melihat cermin selama 10 hari / sesetengah cerita menyatakan sebulan.

Semenjak hari itu semua orang memuji-muji kejelitaan wanita itu dan menyebabkan dia tidak sabar dan melihat wajahnya di cermin pada hari terakhir. Akibatnya mukanya menjadi buruk, dan setelah dia menemui kembali gurunya, dia diberitahu bahawa mukanya hanya akan kembali cantik setelah dia menyapu mukanya dengan darah XX perawan.

Matlamat hantu kum-kum dikatakan memulihkan wajah penuntutnya yang terlanggar pantang.Disebabkan itu wanita itu merayau-rayau mengetuk pintu rumah bagi mencari mangsa sambil menyatakan “Kum-Kum” sambil mengenakan jibab.

Hantu kum-kum merupakan cerita hantu moden yang mula berkeliaran sekitar 1970-an ketika kebangkitan kesedaran semula Islam dikalangan orang-orang Melayu. Ketika itu, para pemudi mula mengenakan hijab dan perkara ini tidak disenangi oleh kumpulan yang mengenakan skirt mini. Dengan itu hantu kum-kum dicipta sebagai sindiran kepada kumpulan yang memegang kepada ajaran Islam ketika itu.

Hantu kum-kum juga kembali popular ketika kumpulan al-Arqam (sudah diharamkan tetapi masih aktif sebagai kumpulan Rufaqa') mula aktif di Malaysia yang menyaksikan pemakaian purdah yang di kalangan wanita pengikut kumpulan itu. Purdah adalah sejenis pakaian yang menutup hampir keseluruhan diri wanita kecuali mata.

Waallahuaalam

Hantu Tanah/Jin Tanah


Jin Tanah dalam masyarakat Melayu, merujuk kepada sejenis makhluk halus dan perkara tahyul. Ia dikatakan terdiri daripada golongan jin atau syaitan, ia juga dikatakan menjaga sesuatu kawasan (tanah) tertentu.

Jin Tanah biasanya menjaga sesuatu kawasan tanah dan akan menganggu mereka yang membuka tanah baru untuk berhuma. Untuk mengelakkan gangguan Jin Tanah, biasanya upacara pembukaan tanah baru akan di adakan. Biasanya makanan yang disediakan dikenali sebagai acak / sajian termasuk telur, ayam panggang, pulut kuning dan sebagainya. Sekiranya tidak, Jin Tanah akan mengganggu mereka yang meneroka kawasan tanah baru tersebut.


Jin Tanah dikatakan mengawal pembukaan tanah baru. Dengan itu pembukaan tanah baru tidak akan dilakukan secara sewenang-wenangnya, dan secara tidak langsung menghalang penerokaan tanah haram.Ia menjaga tanah baru dari diceroboh.Mempercayai Jin lebih berkuasa dari Allah adalah satu perbuatan syrik dalam Islam.
Secara Ilmiahnya direka nama Hantu /Jin Tanah ini adalah untuk Mengelakkan pencerobohan tanah secara haram dan Menggalakkan kehidupan secara bermasyarakat.

Waallahuaalam

Hantu Galah


Hantu Galah merujuk kepada sejenis makhluk halus dalam kepercayaan Melayu, adalah dari golongan jin/syaitan.

Ia dikatakan berbentuk manusia tetapi bersaiz besar dan amat tinggi sehingga kepalanya dikatakan menyapu awan. Ia sering kali ditemui jauh di dalam hutan dan biasanya hanya kakinya yang kelihatan.

Mereka yang diusiknya dikatakan sering menyangka kakinya sebagai batang pokok. Kakinya dikatakan berbulu panjang dan hanya mangsa hanya terserempak pada waktu malam apabila sering bersandar atau memegang kakinya, atau ketika melalui celah kangkangnya.

Manusia yang bersahabat dengannya dikatakan boleh mencabut bulu betisnya yang akan dibakar untuk menyerunya apabila memerlukan pertolongannya.Hantu galah dipercayai hanya mengusik tetapi tidak membahayakan orang.

Hantu galah dikatakan nampak dalam keadaan normal apabila kita pertama kali melihatnya tetapi menjadi tinggi dan tinggi sampai ke satu masa kita hanya melihat kakinya. Seseorang dinasihatkan supaya tidak mendongak ke atas atau kepala kita akan selama-lamanya mendongak ke atas.

Seseorang juga dinasihatkan tidak berjalan di celah kakinya atau hantu ini akan mengepit orang itu dengan kakinya yang panjang.

Kata orang Tua-tua,Kalau ditakdirkan terjumpa hantu galah, dinasihatkan supaya menirap. Kerana tubuh makhluk ini yang tinggi lampai, ia tak akan perasan manusia yang menirap.
Hantu galah antara hantu-hantu yang dikatakan direka ceritanya untuk menakut-nakutkan kanak-kanak supaya tidak memanjat pokok pada waktu malam. Sesetengah orang Melayu percaya hantu galah dapat dilihat jika seseorang itu mempercayai kewujudannya.waallahuaalam

Hantu Laut

Hantu Laut dikenali juga sebagai Hantu Air (Rujuk Hantu Air ),cuma apa yang ingin saya ketengahkan disini adalah cara menjamu semangat Hantu Tersebut pada masa dahulu di Negara Kita.Majlis atau pun acara untuk menjamu Hantu Laut ini dinamakan sebagai pesta memuja Pantai.

Pesta Puja Pantai atau juga dikenali sebagai Menjamu Hantu Laut, atau Menyemah Pantai, merupakan satu upacara popular yang dilakukan oleh golongan petani dan nelayan di Pantai Timur, terutamanya di Kelantan dan Terengganu sebelum musim menangkap ikan. Seekor kerbau balar (putih) biasanya disembelih dan dihanyutkan ke laut bagi menenangkan semangat laut atau juga dikenali sebagai hantu air agar tidak membahayakan para nelayan ketika mereka menangkap ikan. Ia juga dikenali sebagi Temasya Mandi Safar di negeri lain, terutamanya di Melaka. Pesta Puja Pantai ini biasanya berlangsung selama beberapa hari dan penduduk pelbagai kampung akan riuh-rendah mendirikan khemah dan pentas pelbagai permainan, terutamanya di pantai Batu Buruk.

Perkhemahan di tepi laut ini dahulunya diadakan selepas musim menuai, sekitar Mac. Pesta Pantai ini pada asalnya diadakan bersama semangat memuja pantai dengan membuang semah (kepala kerbau) ke laut untuk mendapat restu hantu laut agar memudahkan usaha menangkap ikan. Pesta Puja Pantai ini kemungkinan bermula bagi menolak bala kerana semasa musim tengkujuh di negeri pantai timur, air dari laut lepas mengulung sebagai gelombang-gelombang besar yang menghalang kegiatan mereka ke laut. Musim hujan ini diikuti pula musim angin kencang, tetapi tanpa hujan lebat, Januari dan Februari yang masih menghalang kegiatan menangkap ikan, lebih-lebih lagi ramai di antara mereka menggunakan perahu-perahu kecil sahaja.


Seorang pegawai kanan perikanan dari Jabatan Perikanan Negeri-Negeri Selat dan Pertempatan Melayu Persekutuan turut melaporkan bahawa ia turut dilakukan di Pulau Ketam pada 14 Januari 1936, yang menggunakan seekor kambing jantan sebagai bahan utama persembahan. Persembahan untuk pesta puja pantai ini termasuklah upacara menepung tawar, bertih, beras kunyit, kemenyan dan sebotol arak.

Ia turut dilaporkan pernah diamalkan di Bachok (1958), Kelantan, Dungun, Kijal, Kuala Merchang, Mukim Beserah, pesta puja pantai pernah berlangsung selama empat hari . Pesta yang diadakan di tepi pantai ini dilakukan sekali dalam setiap empat atau tujuh tahun. Seekor kerbau balar (putih) berusia lebih kurang tiga tahun dikorbankan. Pada hari pertama diadakan upacara mengasap kemenyan dan alat-alat magik yang akan digunakan. Pada masa itu pawang membaca jampi mantera dan perkataan `Allah' sering disebut.

Ini diikuti oleh upacara melumur kerbau itu dengan air laut. Upacara diadakan pada hari kedua. Kerbau disembelih pada waktu maghrib hari ketiga. Dagingnya dimasak untuk jamuan mereka yang hadir sementara kepala dan kulitnya disumbat dengan sabut kelapa untuk memberi daya apung semasa dalam perjalanan sebaik sahaja ia dijahit. Beberapa jenis teater, termasuk menora, mak yong dan wayang kulit, masing-masing diiringi dengan kumpulan muzik dipersembahkan sebagai sebahagian daripada pesta puja pantai ini. Pawang dan pembantu-pembantunya mempersembahkan sampan yang diperbuat daripada tepung beras, daun nipah dan bangkai kerbau tadi kepada penunggu laut. Mereka meluncurkan sampan tadi ke laut lepas. Kemudian mereka kembali ke pantai dan ikut serta dalam majlis kenduri.

Bagi nelayan di Mukim Beserah pula, lima batu dari timur laut Kuantan, pesta ini tidak diadakan selagi pawang atau orang kampung tidak bermimpi semangat laut yang mereka namakan jembalang laut meminta agar diadakan pesta ini. Di Kijal, pesta seperti ini diadakan di pantai Kemaman, dan berlangsung selama tiga hari. Pesta terakhir yang diadakan di Dungun dan Kuala Merchang ialah pada tahun 1976, berlangsung selama tiga hari. Dalam masa 15 tahun, pesta puja pantai hanya diadakan dua kali di Dungun untuk tujuan ini. Umumnya pesta seperti ini, yang dilakukan secara besar-besaran sudah tidak diadakan lagi buat masa sekarang ini. Punca utamanya ialah kesedaran mengenai Islam menyebabkan upacara itu berkubur sedikit demi sedikit.

Tujuan dilakukan pesta seperti ini dilakukan ialah untuk tujuan rawatan penyakit, yang dipercayai berpunca daripada iblis dan syaitan. Apabila ia melibatkan upacara di laut, ia dilakukan selalunya kerana berlakunya kemalangan yang berturut-turut di laut, atau di pantai, kematian, kemalangan, tangkapan yang kurang, penyakit berjangkit dan sebagainya. Upacara atau pesta seperti ini bukan dilakukan setiap tahun, tetapi dilakukan apabila berlakunya sesuatu masalah seperti yang dijelaskan, ataupun apabila pawang atau bomoh mendapat mimpi yang penunggu, hantu laut dan sebagainya meminta supaya diadakan pesta memberi jamuan tadi, ataupun melalui mimpi.

Upacara ini dilakukan ialah kerana kepercayaan tentang adanya kuasa atau keupayaan penunggu atau jin-jin yang menghuni sesuatu tempat itu menguasai kehidupan manusia, boleh mendatangkan penyakit, mendatangkan kecelakaan, ribut taufan, menghalau ikan jauh daripada rezeki nelayan, boleh dipujuk dengan memberi makan dan sebagainya. Kerana itulah maka sajian itu perlu diberi. Apabila seseorang itu, tidak kira siapa menganggap adanya kuasa pada sesuatu yang baru, iaitu makhluk, orang yang berkenaan telah menyamakan kuasa (kudrah) yang ada pada Allah itu dengan kuasa yang ada pada makhluk, iaitu jin-jin, padahal yang mempunyai kudrah itu hanya Allah. Penyamaan ini diistilahkan sebagai `syirik', syirik menurut sebutan orang Melayu.

Selain dari bertujuan menjauhi bala, pesta puja pantai ini turut berfungsi sebagai tempat perhimpunan petani dan nelayan, di mana mereka melepas penat selepas menuai tanaman bagi petani dan rehat kerana musim ombak besar bagi kaum nelayan. Semasa perjumpaan ini, mereka akan mengambil peluang bagi berbincang mengenai perkara perkara berkenaan perkembangan dalam bidang masing-masing seperti benih yang baik, ancaman makhluk perosak dan perkara-perkara sedemikian. Pada masa itu, pesta keraian ramai seperti ini menjadi pusat pertukaran maklumat penting bagi orang awam disebabkan ketiadaan sistem komunikasi awam masa itu.Selepas Perang Dunia II beberapa rencana, terutamanya dalam Utusan Melayu memperkecilkan upacara ini sebagai membazir dan bertentangan dengan ajaran Islam. Kemudainnya pada 1950-an PAS turut menentang amalan ini dan apabila PAS memenangi Kelantan pada tahun 1959, ia mengharamkan upacara ini sepenuhnya yang seterusnya turut diikuti oleh negeri-negeri lain . Bagaimanapun, pesta terakhir diadakan adalah pada 1976, iaitu 17 tahun selepas Kelantan berhenti melakukannya.

Hantu Jerangkung


Jerangkung merujuk kepada sejenis makhluk halus dalam kepercayaan Melayu, kemungkinannya dari golongan jin/shaitan, yang dipelihara bagi tujuan menginiaya orang lain. Pemeliharaan makhluk halus seperti ini turut dikenali sebagai saka.

Jerangkung bisanya dipelihara dengan tujuan membantu pemiliknya melindung diri atau bagi memusnahkan musuh.

Jerangkung mampu merasuk mangsanya dan menjadikan mangsanya menderita.

Pemelihara Jerangkung biasanya akan membeli atau memuja untuk mendapatkan Jerangkung. Jerangkung yang dipelihara, dipercayai secara umum akan mematuhi perintah tuannya selagi ia dijaga dengan baik. Sekiranya gagal, Jerangkung akan menghisap darah ahli keluarga terdekat pemiliknya.

Pengamal ilmu sihir atau ilmu sesat bagi membela/memelihara Hantu Jerangkung ini adalah satu perbuatan syrik dalam agama Islam.

Sekiranya tidak dijaga dengan baik, Jerangkung akan membinasakan ahli keluarga terdekat pemilik Jerangkung. Sekiranya Jerangkung tidak lagi diperlukan, pemilik Jerangkung perlu mendapatkan tuan pengganti, atau menghantar Jerangkung itu balik ketempat ia dibeli, atau ia perlu dibuang, biasanya dihanyutkan dengan acak kedalam sungai.


Monday, November 29, 2010

Hantu Bungkus/Punjut/Pocong


Hantu bungkus atau juga dikenali sebagai hantu punjut atau hantu pocong merujuk kepada sejenis makhluk yang berbentuk seperti mayat yang dibungkus dengan kain kafan.

Hantu bungkus sering dikatakan mengusik orang yang lemah semangat, dan akan bergerak dengan meloncat seperti hantu cina, atau bergolek. Ia dikatakan mampu bergerak sepantas kereta, bergerak seiring dengan kereta yang dipandu oleh mangsa usikan mereka.

Hantu bungkus tidak dipelihara dan terdapat secara bebas. Kebiasaannya hantu bungkus adalah jelmaan jin yang menganggu manusia.

Sesetengah Orang melayu berpendapat,Mereka yang berani menangkap hantu bungkus dikatakan mampu mendapat kekayaan yang banyak. Ini kerana dikatakan, dalam bungkusan tersebut terdapat wang yang banyak.

Hantu bungkus bukan takat bergerak pantas malah boleh loncat dari atap ke atap jauhnya, ini adalah merupakan kelebihan hantu ini

Kata Orang Tua,kita boleh berlari zig-zag..kerana hantu bungkus hanya bergerak lurus..wallahuaalam

Hantu Kubur


Hantu kubur merujuk kepada sejenis makhluk yang berkeliaran dikawasan perkuburan. Hantu kubur amat ditakuti dikalangan orang-orang asli kerana mampu menyebarkan penyakit. Ini adalah antara sebab orang asli berpindah randah sekiranya berlaku kematian. Hantu kubur tidak dipelihara dan terdapat secara bebas.

Hantu kubur sering dikatakan mengusik orang yang lemah semangat.

Hantu Bukit

Hantu bukit merujuk kepada sejenis makhluk yang berkeliaran dikawasan bukit. Hantu bukit sering dikatakan mengusik orang yang lemah semangat. Hantu ini tinggal di bukit dan sekiranya seseorang dari kaum Semai bermimpi melihatnya, dia harus menjadi Halak (Dukun).Hantu bukit tidak dipelihara dan terdapat secara bebas.

Kebiasaannya,orang yang melalui kawasan bukit tanpa membaca pelindung apa daripada ayat Al Quran,meraka akan diganggu makhluk yang dinamakan sebagai hantu bukit ini dalam pelbagai bentuk.

Hantu Air

Hantu air (juga termasuk Hantu laut) merupakan sejenis makhluk halus digelar mambang atau jin yang terdapat di dalam kawasan berair. Makhluk ini dianggap agak keras dan mampu membahayakan mereka yang bertembung dengannya.

Kebiasaannya ia dikatakan terapung-apung seperti batang kayu buruk, tetapi mampu melumpuhkan mereka yang tersentuh dengannya.

Selain itu, ia dikatakan mampu menjelma untuk mengusik mereka yang berada di pinggir air.

Dipercayai bahawa hantu air berasal daripada ilmu dan makhluk halus yang dibuang, dihanyutkan melalui sungai mengalir ke laut dengan menggunakan acak.

Air laut yang berkilauan dikatakan menunjukkan kehadirannya. Bagi menggelakkan gangguan bagi para nelayan dari hantu air (laut), satu upacara yang dikenali sebagai semah laut akan diadakan setiap tahun. Upacara ini juga dikenali sebagai puja pantai / main pantai.

Pelesit

Pelesit merujuk kepada sejenis makhluk halus, kemungkinannya dari golongan jin/syaitan, yang dipelihara oleh seseorang, biasanya wanita, bagi tujuan memudaratkan musuh. Pemeliharaan makhluk halus ini dikenali sebagai saka. Hantu pelesit dipercayai diberi makan darah dari jari tangan tuannya sendiri.

Hantu pelesit dikatakan mampu menjelma sebagai sejenis belalang pelesit, belalang kecil yang mempunyai kepala berbentuk tajam dan tirus, dan masuk kerumah mangsa. Pelesit ini kemudiannya akan mengambil peluang untuk menyerang dan menghisap darah mangsa apabila mangsa leka.

Hantu Pelesit dikatakan akan dipelihara oleh wanita bagi tujuan membinasa musuh atau orang yang dibenci pemiliknya. Selain itu hantu pelesit juga digunakan bagi mendapatkan wang. Hantu pelesit akan menyerang seseorang mangsa dan hanya keluar apabila tuannya datang datang membantu menghalaunya keluar, dengan itu mendapat bayaran kerana membantu mengubati mangsa.

Hantu pelesit biasanya dikatakan disimpan dalam botol kecil dan diberi makan darah yang dititik daripada hujung jari tuannya setiap kali bulan mengambang.

Hantu pelesit adalah sejenis makhluk halus yang dipelihara oleh manusia. Ia perlu diberi makanan menurut tempoh tertentu, biasanya dengan darah tuannya. Dengan itu hantu pelesit tersebut perlu diwariskan kepada seseorang penganti sebelum tuannya mati sebagai saka. Sekiranya tuannya mati sebelum sempat mencari pengganti, hantu pelesit akan hidup liar dan mengganggu penduduk berdekatan.

Hantu pelesit akan membuat tuannya susah nak mati kerana tiada tuan baru untuk menjaga dia kelak, kecuali ada anak yang sanggup menjaga hantu itu. Dia akan menjaga tuannya sehingga dia dimusnahkan oleh tuannya sendiri.

Pengamal ilmu sihir atau ilmu sesat ini adalah satu perbuatan syrik dalam agama Islam. Pembela pelesit dikatakan tidak akan mempunyai zuriat kerana ilmunya yang panas akan membunuh janin atau anak kecil yang berdamping dengannya, sekiranya tidak dijaga dengan baik. ia takut dengan tahi besi iaitu (sejenis besi lebihan dari proses peleburan besi) Menurut pandangan pengamal perubatan tradisional ,rupa pelesit adalah seperti seorang tua yang amat hodoh berabut putih panjang.Cara ia berjalan mirip seekor penguin.Ia menumpang ke badan belalang hijau sebagai tunggangannya.Cara untuk mengenali rupa belalang pelesit adalah dengan melihat di atas kepalanya terdapat tanda merah.Apabila dicabut kepalanya akan nampak juraian rambut yang halus.


Penanggal

Hantu Penanggal atau juga dikenali sebagai hantu tengelong di negeri Kedah atau Balan-balan di Sabah, merujuk kepada seseorang, biasanya wanita, yang menuntut ilmu hitam bagi sesuatu kepentingan. Mereka yang menuntut ilmu ini mampu menceraikan kepala dengan badan mereka dan kepala mereka mampu terbang dengan tali perut terurai-urai. Darah yang menitik dari tali perut mereka dipercayai berbisa dan akan menyebabkan kudis kepada mereka yang terkena.

Mereka yang menuntut ilmu penangalan biasanya akan menyimpan setempayan cuka bagi memeram urat perut mereka agar kecut sebelum bercantum masuk kembali kedalam badan asal mereka. Dipercayai sekiranya tubuh mereka dijumpai orang dan diterbalikkan, kepala mereka akan bercantum secara terbalik, dengan itu rahsia mereka akan terbongkar.

Hantu Penanggal dipercayai suka darah perempuan yang bersalin, dan sekiranya mereka menghisap darah tersebut, wanita bersalin itu akan mati akibat tumpah darah. Oleh itu, biasanya disekeliling rumah wanita bersalin (masa dahulu, rumah dibina bertiang), diletakkan sejenis daun yang berduri. Dipercayai penanggalan takut hendak mendekati rumah tersebut kerana bimbangkan tali perutnya tersangkut kepada duri tersebut.

Ketika Hantu penanggal terbang, ia dipercayai berupa cahaya putih berkilauan, dari urat perut mereka yang terburai itu.

Hantu Penanggal dikatakan dituntut oleh seseorang wanita bagi membantunya mengekalkan kecantikannya, membunuh musuhnya, menjaga tanaman / peliharaan daripada pencuri dan lain-lain. Kini, penanggalan bukan sahaja dituntut ole wanita malahan lelaki juga tidak kurang hebatnya.Daerah Kota Belud amat terkenal dengan balan-balan. Sebenarnya penanggalan adalah sejenis penyakit keturunan, bagi pengamal-pengamal ilmu ini mereka akan menjangkitkan keturunan mereka melalui makanan. Itu kini ilmu ini disebut sebagai penyakit bagi zaman kini.

Hantu penanggal adalah seseorang yang menuntut ilmu hitam. Dengan itu ilmu tersebut perlu diwariskan kepada seseorang penganti sebelum tuannya mati sebagai saka. Sekiranya tuannya mati sebelum sempat mencari pengganti, hantu penanggalan akan hidup liar dan mengganggu penduduk berdekatan. Ia juga gemar menghisap darah manusia yang akan atau mahu bersalin.

Penanggalan juga biasanya diwarisi dari ibu kepada anak secara turun-temurun.



Langsuir

Langsuir adalah sejenis makhluk halus penghisap darah dalam kepercayaan masyarakat Melayu. Langsuir dipercayai akan merasuk mangsa dan menghisap darah mangsa secara perlahan-lahan sehingga mati.

Terdapat sesetengah pendapat bahawa Langsuir berasal daripada wanita yang mati bersalin atau selepas itu.Ada juga yang berpendapat,langsuir dan Pontianak adalah jenis yang sama.

Langsuir dipercayai mampu menyerupai seorang perempuan yang cantik dan mengoda lelaki agar mengikuti mereka ketempat sunyi. Apabila sampai ketempat yang sunyi, langsuir akan berubah kembali kepada rupa asal dan akan merobek perut mangsa atau mencekik leher mangsa dan menghisap darah mereka.

Wednesday, November 24, 2010

Hantu Toyol


Toyol merujuk kepada sejenis makhluk halus dalam kepercayaan Melayu, kemungkinannya dari golongan jin/syaitan, yang dipelihara bagi tujuan mencuri.

Toyol ini dikatakan berbentuk kanak-kanak kecil dan turut mempunyai perangai seperti kanak-kanak kecil. Pemeliharaan makhluk halus ini dikenali sebagai saka.

Toyol biasanya dipelihara dengan tujuan membantu pemiliknya mendapatkan duit dengan mencuri daripada jiran-tetangga.

Toyol mampu menyelip dalam mana-mana bilik berkunci, dan mampu mencari wang tunai yang disorokkan di mana sahaja, kononnya termasuk yang disorok dicelah kitab suci.Pemelihara toyol biasanya akan membeli atau memuja untuk mendapatkan toyol. Toyol yang dipelihara, dipercayai secara umum sebagai mempunyai bentuk seorang budak kecil berbogel, dengan mata yang merah dan gigi yang tajam. Kononnya, toyol akan dipelihara dalam sebuah botol kecil dan pemiliknya akan memberikannya makan darahnya sendiri setiap hari/setiap bulan mengambang. Sekiranya gagal, toyol akan menghisap darah ahli keluarga terdekat pemiliknya.Pengamal ilmu sihir atau ilmu sesat ini adalah satu perbuatan syrik dalam agama Islam.

Sekiranya tidak dijaga dengan baik, toyol akan membinasakan ahli keluarga terdekat pemilik toyol. Sekiranya toyol tidak lagi diperlukan, pemilik toyol perlu mendapatkan tuan pengganti, atau menghantar toyol itu balik ketempat ia dibeli, atau ia perlu dibuang, biasanya dihanyutkan dengan acak kedalam sungai.

Terdapat petua yang menyatakan sekiranya sejenis permainan, diletakkan hampir dengan wang yang disimpan, toyol akan asyik bermain sehinggakan terlupa mengambil wang. kacang hijau yang diletakkan kedalam kantung juga dikatakan boleh melalaikan toyol.

Toyol juga tidak akan mencuri keseluruhan jumlah wang, tetapi sekadar mengambil sebahagian daripada wang yang tersimpan. Mungkin Kerana kata orang tua-tua yang mengatakan bahawa "budak-budak jangan pegang duit banyak banyak". Pemilik toyol juga perlu memenuhi apa sahaja permintaan toyol peliharaannya, sekiranya gagal, toyol tersebut akan bertindak ganas.

Secara ilmiahnya, toyol hanyalah satu helah pencuri yang bergerak aktif disesuatu tempat. Sekiranya terdapat toyol sebenar, tuan toyol boleh mendapatkan wang yang lebih banyak hanya dengan membuat pertunjukkan, tanpa perlu mencuri.

Hantu Polong


Hantu Polong merujuk kepada semangat atau makhluk halus belaan yang dipelihara oleh seseorang, biasanya lelaki, bertujuan untuk tujuan memudaratkan musuh. Hantu polong dipercayai diberi makan darah dari jari tuannya.

Menurut kepercayaan orang Melayu, polong dihasilkan dengan meletak darah orang yang mati dibunuh kedalam botol bermulut panjang. Botol tersebut kemudiannya akan dipuja dan jampi serapah akan dibacakan dalam tempoh masa tertentu. Selepas tujuh hingga dua minggu akan kedengaran bunyi mengerit daripada dalam botol. Pemuja polong perlu menghiris sedikit jarinya dan memasukkan jarinya yang berdarah itu ke dalam botol untuk memberi polong makan. Dengan memberi makan, polong ini akan terikat kepada tuannya dan akan melakukan apa sahaja suruhan tuannya.

Polong biasanya akan disimpan di dalam botol dan hanya dikeluarkan apabila hendak memusnahkan musuh. Mangsa polong biasanya boleh dikenali dengan kesan lebam pada mayat dan darah keluar melalui mulut.

Hantu polong dikatakan akan dipelihara oleh lelaki untuk menyakiti musuh. Selain itu hantu polong juga digunakan bagi mendapatkan wang. Polong akan menyerang seseorang mangsa dan hanya keluar apabila tuannya datang membantu menghalaunya keluar, dengan itu mendapat bayaran kerana membantu mengubati mangsa.

Hantu polong adalah sejenis makhluk halus yang dipelihara oleh manusia. Ia perlu diberi makanan menurut tempoh tertentu, biasanya dengan darah tuannya. Dengan itu hantu polong tersebut perlu diwariskan kepada seseorang penganti sebelum tuannya mati sebagai saka. Sekiranya tuannya mati sebelum sempat mencari pengganti, hantu polong akan hidup liar dan mengganggu penduduk berdekatan.