Translate

Sunday, November 14, 2010

Asal Kejadian Jin & Syaitan


ASAL USUL KEJADIAN JIN DAN SYAITAN

PENGENALAN

Secara umumnya terdapat tiga jenis makhluk yang setiap darinya memiliki asal usul ciptaan yang berbeza:

1. Malaikat yang dicipta dari cahaya.

2. Jin yang dicipta dari api.

3. Manusia yang dicipta dari tanah.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah menerangkan tentang tiga jenis makhluk ini dalam sabda baginda:


خُلِقَتْ الْمَلاَئِكَةُ مِنْ نُورٍ وَخُلِقَ الْجَانُّ مِنْ مَارِجٍ مِنْ نَارٍ وَخُلِقَ آدَمُ مِمَّا وُصِفَ لَكُمْ.


Diciptakan malaikat dari cahaya, diciptakan jin dari nyalaan api dan diciptakan Adam (manusia) dari apa yang telah dijelaskan kepada kalian.[1]


Merujuk kepada tiga jenis makhluk di atas, yang penting untuk diketahui ialah bahan asas ciptaannya dan bukan bagaimana bahan tersebut berbentuk atau diadun. Ini kerana jika dihimpun semua ayat al-Qur’an dan hadis yang sahih berkenaan asal usul malaikat, jin dan manusia, akan ditemui bahawa bahan-bahan tersebut dinyatakan dalam bentuk yang berbeza atau adunan yang berlainan.


Untuk jin umpamanya, dalam hadis di atas disebut bahawa ia dicipta dari nyalaan api. Akan tetapi dalam ayat 27 surah al-Hijr, disebut bahawa ia dicipta dari (نار السموم) “angin api yang amat panas”. Perbezaan ini sebenarnya saling melengkap dan memperinci antara satu sama lain. Yang penting untuk kita ketahui ialah bahan asas untuk ciptaan jin ialah api.

Di antara tiga makhluk ini, manusia dicipta oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala selepas Dia mencipta malaikat dan jin. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya.

Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu dari angin api yang panasnya menyerap

ke liang bulu roma (نار السموم). Dan (ingatkanlah peristiwa)

ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat:

“Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia

dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya.”

[al-Hijr 15:26-28]


Dalam ayat di atas, dinyatakan bahawa:

· “Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu…”, menunjukkan bahawa jin dicipta sebelum manusia.

· “…ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia…”, menunjukkan malaikat sudah sedia ada ketika Allah hendak mencipta manusia.

Setakat ini tidak ditemui nas yang sahih lagi jelas yang menerangkan antara malaikat

dan jin, siapakah yang dicipta terlebih dahulu. Apabila Allah dan Rasul-Nya mendiamkan persoalan ini, bererti ia bukanlah sesuatu yang bermanfaat untuk kita memikirkannya atau mencari jawapanya.


Antara tiga makhluk tersebut, syaitan adalah dari jenis makhluk jin sebagaimana jelas Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam ayat berikut:

Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat:

“Sujudlah kamu kepada Adam”; lalu mereka sujud melainkan iblis;

ia adalah berasal dari golongan jin.

[al-Kahf 18:50]


Dalam ayat yang lain diterangkan bahawa syaitan berasal dari api, menunjukkan mereka berasal dari jenis jin:

Allah berfirman: “Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku memerintahmu?”

Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan)

jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.”

[al-A’raaf 7:12]

Ada pun iblis, maka ia adalah salah satu nama syaitan. Tidak ditemui petunjuk sahih apakah iblis ketua syaitan atau syaitan yang pertama. Sekali lagi, apabila Allah dan dan Rasul-Nya mendiamkan persoalan “Siapakah iblis?”, bererti ia adalah sesuatu yang tidak penting untuk kita mengetahuinya. Yang penting ialah kita mengetahui bahawa iblis adalah salah satu nama syaitan. Perkaitan antara iblis dan syaitan dapat dilihat pada ayat berikut, setelah iblis enggan sujud kepada Adam:

Allah berfirman (kepada iblis):

“Pergilah (lakukanlah apa yang engkau rancangkan)!

Kemudian siapa yang menurutmu di antara mereka,

maka sesungguhnya neraka Jahannamlah balasan kamu semua,

sebagai balasan yang cukup.

Dan desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat memujuknya dengan suaramu;

dan kerahlah penyokong-penyokongmu yang berkuda

serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan mereka;

dan turut - campurlah dengan mereka dalam menguruskan harta-benda

dan anak-anak (mereka); dan janjikanlah mereka (dengan janji-janjimu)”.

Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata.

[al-Isra’ 17:63-64]


Bersambung........

No comments:

Post a Comment