Translate

Tuesday, November 30, 2010

Hantu Laut

Hantu Laut dikenali juga sebagai Hantu Air (Rujuk Hantu Air ),cuma apa yang ingin saya ketengahkan disini adalah cara menjamu semangat Hantu Tersebut pada masa dahulu di Negara Kita.Majlis atau pun acara untuk menjamu Hantu Laut ini dinamakan sebagai pesta memuja Pantai.

Pesta Puja Pantai atau juga dikenali sebagai Menjamu Hantu Laut, atau Menyemah Pantai, merupakan satu upacara popular yang dilakukan oleh golongan petani dan nelayan di Pantai Timur, terutamanya di Kelantan dan Terengganu sebelum musim menangkap ikan. Seekor kerbau balar (putih) biasanya disembelih dan dihanyutkan ke laut bagi menenangkan semangat laut atau juga dikenali sebagai hantu air agar tidak membahayakan para nelayan ketika mereka menangkap ikan. Ia juga dikenali sebagi Temasya Mandi Safar di negeri lain, terutamanya di Melaka. Pesta Puja Pantai ini biasanya berlangsung selama beberapa hari dan penduduk pelbagai kampung akan riuh-rendah mendirikan khemah dan pentas pelbagai permainan, terutamanya di pantai Batu Buruk.

Perkhemahan di tepi laut ini dahulunya diadakan selepas musim menuai, sekitar Mac. Pesta Pantai ini pada asalnya diadakan bersama semangat memuja pantai dengan membuang semah (kepala kerbau) ke laut untuk mendapat restu hantu laut agar memudahkan usaha menangkap ikan. Pesta Puja Pantai ini kemungkinan bermula bagi menolak bala kerana semasa musim tengkujuh di negeri pantai timur, air dari laut lepas mengulung sebagai gelombang-gelombang besar yang menghalang kegiatan mereka ke laut. Musim hujan ini diikuti pula musim angin kencang, tetapi tanpa hujan lebat, Januari dan Februari yang masih menghalang kegiatan menangkap ikan, lebih-lebih lagi ramai di antara mereka menggunakan perahu-perahu kecil sahaja.


Seorang pegawai kanan perikanan dari Jabatan Perikanan Negeri-Negeri Selat dan Pertempatan Melayu Persekutuan turut melaporkan bahawa ia turut dilakukan di Pulau Ketam pada 14 Januari 1936, yang menggunakan seekor kambing jantan sebagai bahan utama persembahan. Persembahan untuk pesta puja pantai ini termasuklah upacara menepung tawar, bertih, beras kunyit, kemenyan dan sebotol arak.

Ia turut dilaporkan pernah diamalkan di Bachok (1958), Kelantan, Dungun, Kijal, Kuala Merchang, Mukim Beserah, pesta puja pantai pernah berlangsung selama empat hari . Pesta yang diadakan di tepi pantai ini dilakukan sekali dalam setiap empat atau tujuh tahun. Seekor kerbau balar (putih) berusia lebih kurang tiga tahun dikorbankan. Pada hari pertama diadakan upacara mengasap kemenyan dan alat-alat magik yang akan digunakan. Pada masa itu pawang membaca jampi mantera dan perkataan `Allah' sering disebut.

Ini diikuti oleh upacara melumur kerbau itu dengan air laut. Upacara diadakan pada hari kedua. Kerbau disembelih pada waktu maghrib hari ketiga. Dagingnya dimasak untuk jamuan mereka yang hadir sementara kepala dan kulitnya disumbat dengan sabut kelapa untuk memberi daya apung semasa dalam perjalanan sebaik sahaja ia dijahit. Beberapa jenis teater, termasuk menora, mak yong dan wayang kulit, masing-masing diiringi dengan kumpulan muzik dipersembahkan sebagai sebahagian daripada pesta puja pantai ini. Pawang dan pembantu-pembantunya mempersembahkan sampan yang diperbuat daripada tepung beras, daun nipah dan bangkai kerbau tadi kepada penunggu laut. Mereka meluncurkan sampan tadi ke laut lepas. Kemudian mereka kembali ke pantai dan ikut serta dalam majlis kenduri.

Bagi nelayan di Mukim Beserah pula, lima batu dari timur laut Kuantan, pesta ini tidak diadakan selagi pawang atau orang kampung tidak bermimpi semangat laut yang mereka namakan jembalang laut meminta agar diadakan pesta ini. Di Kijal, pesta seperti ini diadakan di pantai Kemaman, dan berlangsung selama tiga hari. Pesta terakhir yang diadakan di Dungun dan Kuala Merchang ialah pada tahun 1976, berlangsung selama tiga hari. Dalam masa 15 tahun, pesta puja pantai hanya diadakan dua kali di Dungun untuk tujuan ini. Umumnya pesta seperti ini, yang dilakukan secara besar-besaran sudah tidak diadakan lagi buat masa sekarang ini. Punca utamanya ialah kesedaran mengenai Islam menyebabkan upacara itu berkubur sedikit demi sedikit.

Tujuan dilakukan pesta seperti ini dilakukan ialah untuk tujuan rawatan penyakit, yang dipercayai berpunca daripada iblis dan syaitan. Apabila ia melibatkan upacara di laut, ia dilakukan selalunya kerana berlakunya kemalangan yang berturut-turut di laut, atau di pantai, kematian, kemalangan, tangkapan yang kurang, penyakit berjangkit dan sebagainya. Upacara atau pesta seperti ini bukan dilakukan setiap tahun, tetapi dilakukan apabila berlakunya sesuatu masalah seperti yang dijelaskan, ataupun apabila pawang atau bomoh mendapat mimpi yang penunggu, hantu laut dan sebagainya meminta supaya diadakan pesta memberi jamuan tadi, ataupun melalui mimpi.

Upacara ini dilakukan ialah kerana kepercayaan tentang adanya kuasa atau keupayaan penunggu atau jin-jin yang menghuni sesuatu tempat itu menguasai kehidupan manusia, boleh mendatangkan penyakit, mendatangkan kecelakaan, ribut taufan, menghalau ikan jauh daripada rezeki nelayan, boleh dipujuk dengan memberi makan dan sebagainya. Kerana itulah maka sajian itu perlu diberi. Apabila seseorang itu, tidak kira siapa menganggap adanya kuasa pada sesuatu yang baru, iaitu makhluk, orang yang berkenaan telah menyamakan kuasa (kudrah) yang ada pada Allah itu dengan kuasa yang ada pada makhluk, iaitu jin-jin, padahal yang mempunyai kudrah itu hanya Allah. Penyamaan ini diistilahkan sebagai `syirik', syirik menurut sebutan orang Melayu.

Selain dari bertujuan menjauhi bala, pesta puja pantai ini turut berfungsi sebagai tempat perhimpunan petani dan nelayan, di mana mereka melepas penat selepas menuai tanaman bagi petani dan rehat kerana musim ombak besar bagi kaum nelayan. Semasa perjumpaan ini, mereka akan mengambil peluang bagi berbincang mengenai perkara perkara berkenaan perkembangan dalam bidang masing-masing seperti benih yang baik, ancaman makhluk perosak dan perkara-perkara sedemikian. Pada masa itu, pesta keraian ramai seperti ini menjadi pusat pertukaran maklumat penting bagi orang awam disebabkan ketiadaan sistem komunikasi awam masa itu.Selepas Perang Dunia II beberapa rencana, terutamanya dalam Utusan Melayu memperkecilkan upacara ini sebagai membazir dan bertentangan dengan ajaran Islam. Kemudainnya pada 1950-an PAS turut menentang amalan ini dan apabila PAS memenangi Kelantan pada tahun 1959, ia mengharamkan upacara ini sepenuhnya yang seterusnya turut diikuti oleh negeri-negeri lain . Bagaimanapun, pesta terakhir diadakan adalah pada 1976, iaitu 17 tahun selepas Kelantan berhenti melakukannya.

No comments:

Post a Comment